10 Ucapan Paling Beracun Seorang Penuntut Ilmu
-Prof Dr Muhaya-
Saya tidak tahu di mana nak mula
Ini masalah biasa. Jangan gelabah. Biasalah,
kalau kita bingung dengan jumlah subjek yang banyak untuk dipelajari. Mulakan
dengan menyenaraikan semua perkara yang kita perlu tahu dan yang boleh dicari
daripada sukatan pelajaran atau segala yang diberitahu oleh pensyarah.
Bahagikan beban kerja pada beberapa bahagian yang boleh diurus. Belajar
mengutamakan kerja yang utama dan jadualkan masa kita secara realistik.
Displinkan diri dengan membiasakan diri kita selama beberapa minit tempoh
antara kuliah untuk mengulangkaji nota-nota kuliah. Elakkan menangguh kerja ke
saat-saat akhir dan mula belajar seawal mungkin dengan tempoh minima empat jam
sehari.
Banyaknya nak belajar, dan masanya pula sikit
Bijak bertindak. Pastikan kita amalkan BTU terhadap kuliah-kuliah kita. Apa itu BTU? Bintulu? Bukan.. salah tu! BTU ertinya Baca awal, Tumpu, Ulangkaji. Buat helaian rumusan
pengajian untuk semua subjek yang ada. Kerja ini boleh dipermudahkan dengan
kumpulan belajar kita. Rumusan ini termasuklah nota kuliah, tutorial,
pembelajaran berasaskan masalah dan kerja-kerja makmal yang perlu
disaling-kaitkan. Kenalpasti topik-topik yang paling penting yang diberi
penekanan oleh pensyarah dan bahagian yang sukar difahami.
Susahnya subjek ini, saya tak faham langsung!
Bersabarlah! Mempelajari ciptaan Tuhan yang
paling tinggi sudah tentu tidak mudah. Tetapi percayalah pada pesanan saya,
sebaik sahaja kita memperolehi ilmu pengetahuan, ia akan memberi kepuasan dalam
hidup kita. Anggapnya sebagai suatu cabaran. Pendekatan yang baik ialah dengan
berbincang dengan rakan-rakan lain dalam kelas. Kita akan rasa lega apabila
diberitahu rakan-rakan lain juga mendapati subjek itu sukar. Beranikan diri
buat temu janji dengan pensyarah untuk mendapatkan penjelasan bagi
bahagian-bahagian yang sukar. Pensyarah sudah tentu amat suka untuk membantu. Satu perkara penting perlu diingati, bahawa lebih sukar sesuatu subjek itu,
lebih berguna ianya untuk masa praktikal klinikal dan pengajian lanjutan lepas
ijazah.
Saya baca, saya faham, tetapi saya tak boleh ingat langsung
Berbincanglah. Kita akan ingat lebih baik bagi
perkara-perkara yang dibincangkan secara mendalam. Hasil penyelidikan telah
menunjukkan bahawa kita ingat 70% daripada apa yang kita bincangkan. Cuba
kaitkannya dengan sesuatu yang bermakna kepada kita. Semasa berbincang, cuba
kaitkan topik tersebut dengan contoh-contoh sendiri. Cuba salingkait subjek
dengan apa yang kita pelajari sebelum ini.
Agak-agaknya saya faham
Jangan terlalu yakin. Uji diri sendiri dengan
berbincang mengenai subjek tersebut. Bina soalan-soalan dengan rakan-rakan kita
mengenai bahagian-bahagian penting dan uji sesama sendiri. Sentiasa ingat fakta
yang ditekankan oleh pensyarah semasa dalam kuliah. Kaji hubungkait antara
setiap topik. Cuba bina soalan-soalan peperiksaan kita sendiri untuk topik yang
dibincangkan dan beri jawapan.
Banyaknya nak kena ingat
Susun atur maklumat kita. Maklumat lebih mudah
diingati jika dipersembahkan dalam bentuk rangka kerja yang tersusun supaya
maklumat boleh diperolehi semula dengan cara yang sistematik. Ada banyak teknik
yang dapat membantu kita menyusun atur maklumat baru.
Baru sebentar tadi saya ingat
Kaji semula. Selepas membaca satu bahagian, kaji semula dan amalkan output learning iaitu mengeluarkan kembali fakta yang
dipelajari. Cuba reka soalan mengenai bahagian tersebut dan jawab. Jika kita
tidak boleh ingat lagi, baca semula pada tempat yang kita tidak ingat. Lebih
banyak kita mengambil masa untuk belajar, lebih banyak yang boleh diingat.
Walaupun kita boleh ingat kesemua fakta, kita masih perlu terus belajar kerana
pembelajaran berterusan boleh menjadikan bahan yang dipelajari tidak mungkin
dilupai. Dengan kata lain kita tidak mungkin terlebih belajar. Walau
bagaimanapun, bagaimana kita mengatur dan menggabungkan maklumat baru amat
penting daripada berapa lama kita mengambil masa untuk belajar. Bukan berapa lama
kita belajar yang penting tetapi berapa banyak yang kita perolehi semasa sesi
belajar itu lebih penting. Berapa banyak yang kita telah pelajari boleh
dibuktikan daripada jumlah soalan yang boleh dijawab. Cuba sediakan soalan
berbentuk esei dan jawab sendiri, kemudian cuba jawab soalan aneka pilihan
untuk mengukuhkan apa yang telah dipelajari.
Saya belajar lebih baik pada saat-saat akhir
Ini tidak benar sama sekali. Ingatan bertambah
apabila masa belajar meliputi tempoh masa yang panjang. Sudah pasti jika
belajar pada saat akhir ada hormon yang boleh dirembeskan akibat tekanan yang
membuat kita rasa tangkas, cergas dan bertenaga untuk belajar. Walau
bagaimanapun kecergasan ini akan mengakibatkan kita mudah penat dan diserang gelabah
terutama sekali apabila kita dapati terlalu banyak yang mesti dipelajari.
Belajar di saat-saat akhir adalah sia-sia dan kesannya akan dirasai semasa
peperiksaan. Saya pernah melihat rakan saya yang bersikap sedemikian. Sikap sebegini akan menyebabkan pelajar akhirnya
terpaksa mengulangi beberapa kertas dan akhirnya terpaksa mengulangi seluruh
tahun akademik tersebut dan ada di antara mereka menamatkan pengajian mereka
dua tahun lebih lewat daripada sepatutnya berbanding dengan siswazah lain.
Keadaan ini membuat mereka kecewa dan kurang keyakinan diri.
Tapi saya suka belajar atas katil saya
Ini tidak baik. Ambil berat terhadap pelajaran kita. Membaca buku untuk pengajian tidak sama dengan membaca buku cerita. Kita mesti belajar dengan kertas dan pen di tangan dan catat atau buat rajah untuk belajar secara aktif. Kita tidak boleh belajar sambil berbaring. Lagi pun, kita boleh ingat semula lebih baik bila situasi belajar sama seperti situasi semasa ujian. Lebih mirip antara suasana belajar dengan suasana ujian, maka lebih banyak bahan yang boleh diigati semasa ujian.
Saya akan berjaga sepanjang malam sehingga saya habis belajar
Keadaan ini kurang produktif. pelajar yang suka berjaga lewat malam tak rasa penat ke? Buang masa? Perkara yang
amat penting semasa ujian ialah berfikiran cergas. Elakkan keletihan minda.
Rehat sebentar berulang kali semasa mentelaah. Sebelum ujian rehatkan minda
kita. Adalah amat penting kita menjaga diri kita sebelum peperiksaan. Makan
betul-betul, tidur cukup dan bersenam secukupnya dan berdoalah
bersungguh-sungguh. Psst.. lupa! Jangan doa sungguh-sungguh, tapi tak study pula! Usaha kena seimbang dengan apa yang kita nak okay?
Sekian sahaja dari saya. Salam.
Kuliah dah mula.
Alhamdulillah result sangat menggembirakan ^^
Semoga semester ni lebih baik dari semester lepas.
Insya allah :)